Pengenalan
Anemia adalah masalah darah yang paling sering dijumpai. Ianya
melibatkan satu perempat dari seluruh penduduk di dunia. Anemia kerana
kekurangan zat besi di alami oleh hampir 1 bilion orang. Ianya lebih
kerap di alami oleh wanita, kanak-kanak, wanita yang mengandung dan
orang tua.Anemia boleh menyebabkan peningkatan kos perawatan dan
menurunkan tahap ekonomi seseorang kerana sentiasa letih dan tidak
bermaya untuk bekerja.
Apa itu Anemia?
Anemia adalah keadaan di mana berlakunya kekurangan jumlah sel darah
merah atau paras haemoglobin di dalam darah. Bila seseorang itu
mengalami anemia, darah beliau tidak mampu membekalkan oxygen untuk
keperluan diri sendiri.
Paras hemoglobin yang normal di kalangan lelaki adalah di antara 13-14 g/dl, manakala wanita antara 12-13g/dl.
Tanda dan Gejala Anemia
Bila keadaan anemia itu kronik, gejala-gejala mungkin tidak berapa
jelas dan sukar di kesan. Tanda tanda dan gejala-gejala boleh jadi
berkaitan dengan keadaan-keadaan yang menyebabkan anemia itu sendiri.
Pesakit mungkin merasa letih dan lemah, kurang tumpuan perhatian,
berdebar- debar atau sukar bernafas. Anemia yang akut mempunyai gejala
yang lebih jelas termasuk kekeliruan, rasa tidak sihat dan berasa
dahaga. Sebelum tanda-tanda anemia menjadi nyata, penurunan paras
hemoglobin mesti ketara dulu. Pesakit mungkin nampak pucat, kuku yang
melengkung (koilonychias), jaundis (perpecahan sel darah merah), muka
talasemia dan pembentukan tulang yang luarbiasa (talasemia major) atau
ulser kaki (anemia ‘sickle cell’). Dalam keadaan anemia yang teruk,
mungkin terdapat tanda-tanda pengaliran darah yang laju; jantung yang
berdenyut laju, nadi yang kuat dan kegagalan jantung dengan saiz yang
besar.
Kanak-kanak yang mengidap anemia mungkin menunjukan kelakuan yang pelik dan tidak mampu belajar dengan baik.
Penyebab-penyebab Anemia
Secara umumnya, anemia dapat dibahagikan kepada empat kumpulan utama, iaitu:
-
Gangguan pembentukan sel darah merah
-
Perpecahan sel sel darah merah
-
Pendarahan
-
Cecair yang berlebihan dalam badan
Keadaan-keadaan yang disebut di atas boleh terjadi dengan serentak dan
memberi kesan yang lebih teruk kepada anemia itu sendiri. Contohnya,
pendarahan boleh menyebabkan anemia tetapi sekiranya pesakit itu turut
mempunyai keadaan kurang zat, maka anemia yang di alaminya menjadi lebih
teruk.
-
Gangguan pembentukan sel darah merah
Gangguan pembentukan dan pembezaan sel-sel induk yang disebabkan oleh
gangguan genetic dan gangguan sistemik seperti kegagalan buah pinggang
dan penyakit endokrin boleh menyebabkan anemia. Keadaan-keadaan ini
boleh menjejas pengeluaran sel-sel darah merah. Contoh penyakit-penyakit
ini adalah talasemia, ‘pure red cell aplasia’ anemia ‘Fanconi’s’,
‘anemia aplastic’ dan kegagalan buah pinggang kronik.
Satu lagi keadaan yang boleh menyebabkan pengeluaran sel sel darah
merah terganggu adalah kekurangan zat-zat pemakanan seperti folat,
vitamin B12 dan zat besi. Tanpa zat-zat ini akan mengganggu perkembangan
dan kematangan sel-sel darah merah muda (eritroblast). Kekurangan zat
besi adalah sangat biasa di kalangan ibu-ibu mengandung dan orang tua.
Anemia disebabkan kekurangan zat besi mempunyai sel-sel darah merah
kecil (anemia mikrositik) dan kekurangan folat dan vitamin B12 mempunyai
sel –sel darah merah besar anemia megaloblastic)
Satu lagi keadaan yang boleh menyebabkan gangguan tumbesar sel darah
merah adalah apabila sum sum tulang telah dimasuki sel sel kanser atau
kuman.
-
Peningkatan kadar perpecahan sel-sel darah merah
Selalunya pesakit dengan keadaan ini yang dipanggil ‘haemolytic
anaemia’ akan dapat Jaundis dan peningkatan paras enzim ‘lactate
dehydrogenase’. Kecacatan pada membrane sel darah merah, kekurangan
enzin-enzim dan struktur haemoglobin boleh menyebabkan sel sel darah
merah mudah pecah. Ada juga keadaan di mana sel darah merah dipecahkan
oleh autoantibodi yang dikeluarkan oleh badan kita untuk melawan
jangkitan kuman, kanser atau penyakit tertentu. Contoh penyakit sel
darah merah mudah pecsah ini adalah kekurangan enzim G6PD, ‘autoimmune
haemolytic anaemia’, ‘sickle cell anaemia’,‘paroxysmal nocturnal
haemoglobinuria’ dan malaria.
-
Pendarahan
Anemia yang terjadi kerana pendarahan boleh jadi kronik atau akut
bergantung kepada jumlah dan kadar pendarahan. Kehilangan darah boleh
terjadi kerana pengambilan darah yang terlampau kerap di kalangan bayi
pramatang (anaemia of prematurity), trauma, pendarahan usus dan perut,
haid atau pendarahan yang abnormal dari rahim, dan kehilangan darah
semasa atau selepas melahirkan anak.
-
Peningkatan jumlah cecair dalam badan (hypervolemia)
Biasanya disebabkan oleh pengambilan garam atau air yang berlebihan,
penyimpanan garam dan air yang berlebihan dalam badan, dan pengaliran
cecair badan ke dalam saluran darah. Keadaan ini menyebabkan pencairan
dalam badan dan boleh menurunkan menurunkan paras haemoglobin.
Contohnya, anemia semasa mengandung di mana ianya terjadi kerana
peningkatan cecair badan semasa mengandung. Keadaan ini dipanggil anemia
fisiologi
Diagnosa
Anemia dapat dikesan dari ujian yang kita panggil ‘full blood count’
(FBC). Ujian ini dilakukan oleh pembilang automatic yang terdapat di
klinik klinik kesihatan dan hospital. Ujian ini adalah sebahagian dari
ujian saringan yang sering dilakukan untuk pesakit yang datang ke klinik
atau dimasukan ke hospital untuk sebarang sebab. Ujian ini juga boleh
dilakukan sekiranya ada permintaan dari individu. Selain dari mengesan
jumlah sel darah merah dan paras haemoglobin, pembilang automatic juga
akan mengukur saiz sel darah merah. Saiz sel darah merah adalah penting
untuk membezakan antara penyebab-penyebab anemia. Saiz sel darah merah
adalah penting untuk membezakan antara penyebab-penyebab anemia. Untuk
melengkap pemeriksaan sel-sel darah, pemeriksaan bentuk dan rupa sel-sel
darah (Full blood picture) akan dijalankan dengan meletak sedikit darah
atas slaid kaca dan diwarnakan serta diperiksa di bawah mikroskop.
Bentuk dan rupa sel-sel darah seperti sel darah merah, sel darah putih
serta ‘platelet’ akan dapat dilihat untuk mengesan sebarang kelainan
yang mungkin ada kaitan dengan penyakit sum sum tulang, leukemia dan
penyebab anemia yang lain.
Di setengah tempat, pembilang automatic ini dapat membilang jumlah
‘reticulocyte’. Jumlah ‘reticulocyte count’ ini dapat mengukur kemampuan
dan fungsi sum sum tulang untuk membentuk sel sel darah merah baru.
Kalau tahap anemia adalah teruk tetapi kadar bilangan ‘reticulocyte’
yang sedikit akan memberitahu kita bahawa sum sum tulang tidak berupaya
untuk menghasilkan sel-sel darah yang cukup. Sekiranya pembilang
automatic tidak ada, bilangan ‘reticulocyte’ dapat dilakukan secara
manual dengan menggunakan kaedah pewarnaan ‘supravital’.
Ujian-ujian tambahan yang boleh dilakukan untuk melengkapkan siasatan
untuk mengetahui punca anemia adalah ESR, ferritin, paras zat besi,
‘transferin’, paras folate, vitamin B12, analisa hemoglobin, fungsi buah
pinggang dan hati. Semua ujian ini akan dilakukan mengikut keperluan
klinikal pesakit. Pemeriksaan sum sum tulang akan dijalankan sekira nya
didapati adanya kemungkinan penyakit leukemia, kegagalan sum sum tulang
atau kanser.
Rawatan
Rawatan untuk penyakit anemia bergantung kepada penyebab dan keterukan
anemia. Pemberian zat besi dan vitamin samada dimakan atau disuntik
boleh menggantikan kekurangan zat-zat tersebut. Vitamin C dalam bentuk
minuman jus oren juga perlu diambil kerana ianya dapat membantu badan
menyerap zat besi.
Untuk anemia penyakit kronik, yang berkaitan dengan kemoterapi atau
kegagalan buah pinggang, setengah doktor akan memberi suntikan
‘erythropoietin’ atau ‘epoietin alfa’ untuk merangsang pembentukan
sel-sel darah merah.
Pemindahan darah tidak digalakan untuk pesakit anemia yang tidak ada
gejala melainkan paras hemoglobin di bawah 6-8g/dl. Namun pemindahan
darah adalah disarankan sekiranya pesakit itu juga mengidap penyakit
jantung, paru-paru atau mengalami pendarahan dengan ‘hypovolemia’
apabila hemoglobin kurang daripada 7 atau 8 g/dl
Pencegahan
Anda adalah dinasihatkan agar melakukan pemeriksaan FBC setiap enam
bulan walaupun anda tidak menunjukkan sebarang tanda anemia dan
sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga yang ada talasemia, leukemia
atau kanser. Anda boleh pergi ke mana-mana klinik kesihatan atau
hospital untuk melakukan ujian ini.